
JEMPOL, 18 Jul – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai hubungan yang ‘lebih daripada kahwin’, dengan kedua-dua gabungan saling membantu sepanjang kempen pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata bentuk kerjasama rasmi antara kedua-dua pihak akan terus dinilai dan dimuktamadkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan semasa.
“Alhamdulillah, menunjukkan satu prestasi sangat baik. Semangatnya sangat baik khususnya kerjasama dengan BN dan yang penting kita pastikan kuasa Melayu-Islam memimpin di Negeri Sembilan.
“Kerjasama BN-PN lebih daripada kahwin, persahabatan persaudaraan (saling bekerjasama dalam kempen). Dia kempen tempat kita, kita kempen tempat dia,” katanya selepas mengiringi calon di Pusat Penamaan Calon Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata kesefahaman antara BN dan PN membuka peluang lebih besar untuk mencapai kemenangan di kerusi yang ditandingi.
“Kita kempen secara berhemah. Paling utama adalah apa kita nak tawarkan pada rakyat Negeri Sembilan. Seperti di Johor, kita nak tawarkan yang terbaik dan paling penting asas kestabilan itu apabila kita lihat kerjasama parti-parti menjadi teras Melayu-Islam.
“Kesefahaman antara parti yang kita tidak bertanding dan tidak bertindih antara satu sama lain itu paling utama sekali,” ujarnya.
Kredit: FMT