
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI lebih lantang dan berani dalam memperkasa agenda Bumiputera, sekali gus menolak dakwaan kononnya kerajaan mengamalkan elitisme hingga meminggirkan golongan itu.
Beliau berkata rekod pentadbiran setakat ini membuktikan kebajikan serta hak Bumiputera terus menjadi keutamaan.
“Sebab itu dalam gagasan Kerajaan MADANI, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitisme semata-mata atau meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebahagian orang.
“Malah saya nak tekankan, saksinya Dato’ Seri Zahid Hamidi, tiga tahun Kerajaan MADANI, program Bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya,” katanya.
Beliau memberi contoh keputusan kerajaan memberikan tempat automatik ke universiti kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas tanpa mengira latar belakang, sambil mengekalkan peluang besar kepada Bumiputera dalam program matrikulasi.
“Dalam masa sama, 90 peratus anak Bumiputera tetap diberikan kesempatan untuk program matrikulasi, Jadi jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu (aspek) sahaja,” jelasnya.
Beliau menggesa semua pihak menilai dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak membina persepsi ‘zero-sum game’ yang boleh menjejaskan keharmonian negara.