Kerajaan Kecam Tindakan Individu Pijak Al-Quran

Jenayah
February 25, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform Threads menggunakan nama akaun ‘ryandaselva’.

Menteri Komunikasi, Dato’ Fahmi Fadzil menyifatkan perbuatan itu sebagai biadab, menghina agama Islam serta mencetuskan provokasi terhadap sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. 

Tegasnya, MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan menyeluruh dan tanpa kompromi, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan kes pelajar yang disyaki menghina Islam di media sosial itu akan diselesaikan dengan segera.

Menterinya, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak universiti telah membuat laporan dan polis telah mengambil tindakan.

Terdahulu, seorang pelajar UMPSA dilaporkan telah ditahan polis hari ini untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

#BeritaKS

@BeritaKS