
IPOH, 10 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin mendakwa tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggantung dirinya serta beberapa pemimpin parti hanya memperlihatkan kelemahan kepimpinan dalaman parti itu.
Menurutnya, keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin BERSATU yang berterusan memecat dan menggantung ramai pemimpin tidak dilakukan secara terbuka, adil dan telus, meski beliau menerima penggantungan tersebut dengan tenang.
“Tindakan separuh jalan ini jelas memperlihatkan kepimpinan parti sendiri berada dalam keadaan tertekan, tidak yakin dan semakin bercelaru dalam mengurus parti,” katanya.
Beliau mendakwa ramai ahli parti mempersoalkan sifat Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih dilihat mahu terus mengangkat dirinya sebagai calon utama Perdana Menteri tanpa mengendahkan realiti politik semasa sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di dalam parti.
Menurut beliau, akar umbi turut mula mempersoalkan hala tuju parti termasuk pengurusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), proses pemilihan dan tindakan disiplin yang didakwa bersifat terpilih serta tidak konsisten.
“BERSATU kononnya berani dan tegas, tetapi hakikatnya hanya pandai bercakap. Jika benar saya bersalah dan sekiranya BERSATU ada maruah, saya cabar pecat sahaja saya terus, bukan sekadar gantung demi menutup kelemahan kepimpinan sendiri.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak takut dengan penggantungan ini. Jawatan boleh diambil, keahlian boleh digantung, tetapi suara kebenaran tidak boleh dibungkam selama-lamanya,” tegasnya.
Kredit: Sinar Harian