Kedudukan DAP Dalam Kerajaan Ditentukan Ahad Ini

Semasa
August 10, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kedudukan DAP dalam Kerajaan Persekutuan akan ditentukan perwakilan parti menerusi undi sulit pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan mengemukakan usul bagi menyerahkan keputusan sama ada parti itu kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal atau sebaliknya kepada perwakilan.

Menurutnya, setiap perwakilan akan diberikan kertas undi untuk memilih sama ada DAP kekal atau keluar daripada kerajaan selepas usul berkenaan dibentangkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan sesi perbahasan selesai.

“Pengundian mereka adalah secara rahsia. Mereka akan diberikan kertas undi untuk mereka tanda sama ada setuju (untuk kekal dalam kerajaan) atau tidak setuju.

“Mereka diberi ruang sepenuhnya untuk membuat keputusan tanpa apa-apa kerisauan. Mereka bebas untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Khoo Poay Tiong berkata proses pengundian dijangka mengambil masa kira-kira dua jam dan akan dipantau ejen pengiraan undi serta pemerhati bagi memastikan ketelusan.

Seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan layak menghadiri persidangan yang turut berlangsung sempena ulang tahun ke-60 penubuhan DAP itu.

Beliau menegaskan persidangan berkenaan merupakan persidangan tahunan parti mengikut perlembagaan DAP dan bukan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) atau persidangan khas.

#BeritaKS

@BeritaKS