
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh supaya tidak sekadar membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival, sebaliknya mengemukakan cadangan alternatif.
Menurutnya, kedua-dua pihak antara yang lantang mengkritik festival berkenaan perlu mencadangkan program yang mampu menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Walaupun kedua-dua pihak begitu kuat menentang acara yang bertujuan memacu pelancongan ini, mereka gagal mengemukakan sebarang cadangan bermakna untuk membantu memajukan industri pelancongan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik rekod PAS dalam sektor pelancongan, termasuk keadaan di Langkawi yang didakwa menunjukkan kemerosotan jumlah pelancong.
“Lihat sahaja keadaan di Langkawi. Kelemahan dalam pentadbiran negeri telah menyebabkan kemerosotan ketara jumlah pelancong asing dan tempatan.
“Kita tidak boleh membiarkan imej Kuala Lumpur dan Malaysia secara keseluruhannya terjejas akibat dasar sempit yang akhirnya merugikan ekonomi rakyat,” tegasnya.
Beliau menegaskan kedua-dua pihak perlu bersikap realistik kerana kebanyakan pelancong asing datang ke Malaysia untuk berehat dan berhibur, bukannya untuk dibatasi dengan kawalan moral yang berlebihan.
Kredit: FMT