
JOHOR BAHRU, 23 Ogos – Johor berjaya menarik potensi pelaburan bernilai lebih RM5 bilion hasil siri pertemuan dengan pelabur sepanjang lawatan kerja tiga hari ke Singapura.
Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz Ghazi berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan dan hab pertumbuhan baharu di rantau ini, khususnya dalam sektor strategik serta berteknologi tinggi.
Menurut beliau, potensi pelaburan itu merangkumi teknologi optik berkelajuan tinggi, kesihatan dan peralatan pembuatan semikonduktor yang dijangka membawa masuk bukan sahaja modal, malah teknologi, kepakaran serta peluang pekerjaan di Johor.
“Dalam setiap pertemuan, antara perkara utama yang diberikan perhatian oleh pelabur ialah ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Bukan infrastruktur dan kemudahan saja yang penting, tetapi keyakinan bahawa kita mempunyai tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan bakat menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) akan terus diberi keutamaan bagi memastikan kemahiran tenaga kerja tempatan selari dengan keperluan industri, manakala Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) akan membantu mempercepatkan urusan pelaburan.
Beliau turut berharap potensi yang dikenal pasti dapat direalisasikan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta peluang yang lebih luas untuk rakyat Johor.