Jalil Yakin Calon BN Mampu Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat

Politik
July 16, 2026

Fara Alisa

SEREMBAN, 16 Jul – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin kesemua calon yang diketengahkan parti itu mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata perkara itu adalah berdasarkan latar belakang, pencapaian serta pengalaman calon-calon BN yang diyakini mempunyai keupayaan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Kalau kita lihat dan kaji soal yang berkaitan dengan latar belakang calon-calon ini dalam soal yang berkaitan dengan pencapaian ataupun pengalaman, saya yakin mereka boleh memberikan khidmat yang terbaik selepas diberikan kemenangan pada 1 Ogos nanti.

“Matlamat kita adalah untuk mengekalkan negeri yang terus stabil makmur dan yang penting sekali ialah untuk mensejahterakan kesemua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN, semalam.

Penyandang DUN Pertang itu berkata pengalaman luas BN dalam mentadbir kerajaan negeri sebelum ini menjadi antara faktor yang mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk kembali memberi kepercayaan kepada parti berkenaan.

“BN mempunyai pengalaman luas dalam mengurus tadbir kerajaan negeri buat sekian lama dan ia pastinya akan memberikan suntikan semangat dan keyakinan rakyat untuk memberikan sekali lagi kepercayaan untuk BN mempimpin kerajaan negeri,” tambahnya.

BN sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 25 kerusi DUN dengan baki 11 kerusi DUN yang belum diumumkan susulan rundingan yang masih berlangsung melibatkan pihak lain.

Kredit: Astro AWANI

#BeritaKS

@BeritaKS