Isu Ternak Babi: Exco Menghadap Sultan Selangor Esok

Semasa
January 11, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah perkenan untuk terima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor esok.

Ini bagi menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan pengoperasian industri penternakan babi di Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dizahirkan baginda berhubung isu penternakan babi di Kuala Langat.

Jelasnya, MMKN sebelum ini telah memutuskan syarat pengoperasian industri penternakan babi di Selangor diperketatkan supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.

“Sebagaimana diperincikan oleh YB Dato’ Ir. Izham Hashim, Exco Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor, langkah ini merupakan inisiatif yang lebih tersusun.

“Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor telahpun diperkenan menghadap pada hari Isnin 12 Januari 2026 bagi tujuan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan MMKN ke bawah duli Tuanku Sultan.

“Termasuk langkah proaktif oleh agensi-agensi penguatkuasaan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi,” katanya.

#BeritaKS

@BeritaKS