
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai kaitan dengan krisis politik Perlis.
Pemimpin PAS Pusat Annuar Musa, mendakwa beliau bertemu Muhyiddin di London semalam dan berbincang selama hampir tiga jam berhubung perkembangan politik melibatkan PN.
Bekas setiausaha agung UMNO itu mendakwa Muhyiddin berkali-kali menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan pengerusi PN jika PAS mahu memimpin gabungan itu.
“Malah beliau beri bayangan (peletakan jawatan) boleh berkuat kuasa 1 Jan ini. Tidak benar, pada fahaman saya, dakwaan Muhyiddin melepaskan jawatan kerana isu di Perlis.
“Sebab hal ini sudah lama beliau sebut secara konsisten berkali-kali, jika PAS mahu, beliau bersedia berikan,” katanya.
Tambahnya, pertemuan dengan bekas perdana menteri itu dibuat atas dasar persahabatan, selain turut menzahirkan penghargaan atas kepimpinan Muhyiddin sejak penubuhan PN pada 2020.
#BeritaKS