Israel Serang Selatan Lubnan Ketika Rundingan Damai

Dunia
August 6, 2026

Fara Alisa

BAITULMAQDIS, 6 Ogos – Tentera Israel pada Rabu menyambung semula serangan di selatan Lubnan dengan mendakwa Hizbullah melanggar gencatan senjata walaupun rundingan damai antara kedua-dua pihak sedang berlangsung di Rom.

Serangan terbaharu itu, yang turut disusuli amaran pemindahan pertama dalam tempoh beberapa minggu, berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) mengetuai rundingan antara Israel dan Lubnan di Rom bagi menamatkan permusuhan.

Dalam kenyataannya, tentera Israel memaklumkan serangan tepat dilancarkan di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap dakwaan pelanggaran jelas gencatan senjata oleh Hizbullah.

Dalam rundingan yang ditaja AS pada Jun lalu, kedua-dua pihak bersetuju terhadap rangka kerja yang merangkumi pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran berperingkat tentera Israel serta penempatan tentera Lubnan di kawasan sempadan.

Rundingan minggu ini merupakan pusingan ketujuh sejak Hizbullah melancarkan serangan roket ke atas Israel pada Mac lalu, sekali gus mencetuskan konflik yang berlarutan di sempadan kedua-dua negara.

Dalam perkembangan sama, tentera Israel mengarahkan penduduk Mansouri mengosongkan kediaman masing-masing susulan dakwaan Hizbullah melanggar perjanjian gencatan senjata.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan Israel sejak konflik tercetus pada Mac lalu mengorbankan lebih 4,300 orang, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan ratusan ribu penduduk masih belum dapat pulang ke kediaman mereka.

Kredit Foto: REUTERS

#BeritaKS

@BeritaKS