Indonesia Cadang Caj Laluan Kapal Selat Melaka

Dunia
April 24, 2026

Fara Alisa

JAKARTA, 23 Apr – Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa mencadangkan agar cukai dikenakan ke atas kapal yang melalui Selat Melaka, dengan mengambil contoh pendekatan yang sedang dipertimbangkan Iran di Selat Hormuz.

Menurutnya, cadangan itu mencerminkan desakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk meningkatkan perdagangan memandangkan kedudukan strategik Indonesia dalam laluan tenaga global.

“Seperti arahan Presiden, Indonesia bukan negara pinggiran. Kita berada di laluan strategik perdagangan dan tenaga dunia, tetapi kapal yang melalui Selat Melaka tidak dikenakan caj. Jadi persoalannya, adakah itu wajar?

“Sekarang Iran mahu mengenakan caj ke atas kapal di Selat Hormuz. Jika kita bahagikan antara Indonesia, Malaysia dan Singapura, hasilnya juga besar. Laluan kita paling luas dan panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan mudah dilaksanakan dan memerlukan penelitian mendalam terutamanya melibatkan kerjasama antara negara yang terlibat.

“Walaupun sebahagian besar laluan berada dalam kawasan Indonesia, realitinya pelaksanaan tidak semudah itu.

“Namun, dengan segala potensi yang ada, kita tidak boleh terus berfikiran defensif, sebaliknya perlu lebih proaktif tetapi tetap terukur,” tambahnya.

#BeritaKS

@BeritaKS