“Hipokrit Tolak Titah Raja Kerana Tak Sesuai Selera”

Semasa
May 21, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 21 Mei – PAS memandang serius kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua terhadap titah dan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyentuh soal penghormatan terhadap asas perlembagaan negara, keharmonian kaum dan sensitiviti masyarakat majmuk.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan respon Tony yang tidak cermat tersebut sebagai hipokrit dan oportunis serta hanya menambah keresahan awam.

“Sikap menolak atau mempersoalkan titah dan nasihat Diraja dengan berselindung di sebalik kedaulatan perlembagaan apabila ia tidak sesuai dengan selera dan kepentingan kita hanya mendedahkan sifat hipokrit dan oportunis seseorang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pelbagai isu sensitif termasuk UEC, penggunaan Bahasa Cina dalam dokumen rasmi, pendidikan dan agama boleh menjejaskan keharmonian jika terus dipolitikkan secara emosional.

“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyuburkan keyakinan serta kepercayaan awam, bukannya yang meledakkan kontroversi mungkin kerana keterdesakan politik, kegagalan mengawal emosi atau ketumpulan kesedaran mengenai sejarah,” tambahnya.

Takiyuddin turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan melibatkan institusi Raja-Raja Melayu perlu dibuat dengan penuh adab dan berhati-hati selaras dengan kedudukan institusi tersebut dalam Perlembagaan.

#BeritaKS

@BeritaKS