
IPOH, 12 Jul – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengelak daripada menjawab pertanyaan media berhubung janji terdahulunya untuk meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya, Timbalan Pengerusi DAP itu menegaskan keutamaannya ketika ini adalah meneruskan khidmat kepada rakyat.
“Hati saya benar-benar bersama rakyat. Saya dapat merasai kesakitan dan kesusahan mereka. Apabila saya datang untuk membantu, mari kita elakkan semua isu ini.
“Saya tahu matlamat anda (wartawan). Anda mempunyai tugas yang perlu dilakukan. Saya juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Mari kita bekerja untuk rakyat dan negara. Fokus kepada kesejahteraan rakyat.
“Mari kita bekerja untuk rakyat dan negara. Fokus kepada kesejahteraan rakyat. Saya juga mempunyai tugas-tugas yang perlu saya selesaikan,” katanya kepada petugas media.
Ketika terus didesak mengenai prestasi DAP dalam PRN Johor, Nga sekali lagi enggan mengulas dan menegaskan fokus acara berkenaan adalah membantu mangsa bencana.
“Kita kini sedang memberikan fokus kepada bencana ini. Saya kekal komited untuk bekerja, berkhidmat dan memberikan sumbangan kepada rakyat. Itu adalah komitmen saya,” ujarnya.
Terdahulu, Nga dilaporkan berkata beliau akan menjadi menteri pertama meletakkan jawatan sekiranya UMNO meraih kemenangan besar di Johor dan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dibebaskan.
Kredit: Harian Metro