Harga Minyak Dijangka Tinggi Lebih Lama – Gabenor BNM

Semasa
April 17, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 17 Apr – Harga minyak global dijangka kekal tinggi untuk tempoh lebih lama walaupun konflik semasa berpotensi berakhir dalam masa terdekat.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata keadaan itu mungkin berlanjutan susulan kesan berpanjangan terhadap pasaran tenaga global.

“Walaupun harga minyak meningkat, kita masih mempunyai subsidi bahan api untuk sebahagian rakyat di bawah BUDI95, jadi ini sedikit sebanyak akan mengurangkan kesan pemindahan kos global kepada harga domestik,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih serta pengukuhan ringgit membantu meredakan tekanan harga, walaupun situasi masih dipantau rapi.

Harga minyak Brent kini sekitar AS$98.50 setong, meningkat hampir 32 peratus berbanding akhir tahun lalu susulan ketidaktentuan konflik di Asia Barat dan situasi di Selat Hormuz.

Dalam masa sama, inflasi dijangka kekal sederhana antara 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2026, dengan ekonomi domestik terus kukuh didorong pertumbuhan 5.2 peratus serta pemulihan sektor pelancongan.

Kredit Foto: Free Malaysia Today

#BeritaKS

@BeritaKS