Hadi Gesa MT PN Bermesyuarat

Lain-Lain, Semasa
January 11, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), selaras Fasal 8.3(l)(b) perlembagaan gabungan itu.

Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden PAS itu menggesa perkara itu bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Katanya, gesaan supaya MT PN segera bermesyuarat itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu, selain melantik Pengerusi baharu, menggantikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

“Saya sebagai Presiden PAS sudah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi, bertarikh 30 Disember 2025 yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

“Di pihak PAS, kami menghormati dan menerima keputusan diambil Muhyiddin serta merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti dicurahkan sepanjang menerajui PN.

“Diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan terbabit sudah melebihi 10 hari,” tambahnya.

#BeritaKS

@BeritaKS