Hadi Dakwa PH, DAP Sebar Propaganda Islamofobia

Politik
July 16, 2026

Fara Alisa

PETALING JAYA, 16 Jul – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, menggunakan sentimen Islamofobia bagi menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan dan pengaruh PAS dalam landskap politik negara.

Beliau berkata istilah ‘gelombang hijau’ mula digunakan selepas PAS muncul sebagai parti dengan kerusi Parlimen terbanyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain menguasai empat negeri dan menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa kawasan.

“(Islamofobia) kini mula kelihatan di Malaysia melalui suara yang dibawa oleh DAP yang mendominasi PH.

“Senjata Islamofobia digunakan oleh DAP setelah gagal menumpang senjata bertopengkan Islam yang menggunakan jenama Islam oleh beberapa kumpulan yang berwajah Islam seperti Islamisasi yang berkonsepkan sekularisme.

“Iaitu melaksanakan Islam secara terpilih serta menggunakan perkataan Madani secara mutlak yang dianggap sebagai fitrah manusia tanpa melalui pembetulan hidayah yang berpandukan Islam,” dakwanya menerusi tulisan di Facebook.

Hadi menegaskan Islam tidak melarang kerjasama dengan masyarakat bukan Islam yang bersikap adil dan tidak ekstrem, sambil mengulangi pendirian PAS untuk memperkukuh perpaduan Melayu-Islam bersama masyarakat majmuk.

“Langkah kerajaan PH meletakkan DAP dalam Kabinet pada kedudukan yang memudahkan pelaksanaan agenda politiknya untuk menakluk tanah air ini, menandakan suatu keadaan yang mencabar kedudukan Melayu Islam di tanah airnya sendiri,” tambahnya.

Beliau turut mendakwa PAS menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tanpa menuntut sebarang kerusi sebagai balasan demi menghalang PH dan DAP menguasai negeri itu.

“PAS tidak memerlukan sebarang kerusi hadiah daripada Johor. Apa yang paling diharapkan ialah perpaduan Melayu-Islam yang memimpin negara bersama bukan Islam yang tidak ekstrem,” jelasnya.

#BeritaKS

@BeritaKS