
KUALA LUMPUR, 4 Dis – Penasihat DAP, Lim Guan Eng memberi amaran kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa pengabaian suara pengundi di Sabah boleh melemahkan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan.
“Perdana Menteri boleh memilih untuk tidak mendengar saya, namun beliau tidak mampu untuk mengabaikan suara pengundi Sabah. Berbuat demikian akan menjejaskan prospek PH dan DAP serta sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan,” katanya melalui hantaran Facebook.
Beliau menegaskan bahawa kritikannya mengenai peluasan SST, e-invois dan kelewatan bayaran balik cukai bukan isu baharu, sebaliknya telah dibangkitkan sejak Disember 2024 namun tidak diendahkan kerajaan.
“Sejak Disember 2024, saya telah membuat sekurang-kurangnya tujuh ucapan di parlimen, membantar peluasan skop SST dan langkah-langkah lain yang membebankan rakyat,” tambahnya.