Fitnah Ismail Sabri, Kes Anak Rafizi Diklasifikasi NFA

Jenayah, Lain-Lain
February 5, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan kes fitnah mengaitkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Rafizi Ramli dikelaskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima satu laporan polis pada 18 Ogos 2025.

“Susulan itu, PDRM membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan dirujuk kepada AGC pada 23 Disember 2025 dan pihak AGC memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘No Further Action’ (NFA),” katanya.

Sebelum ini, satu hantaran disiarkan di laman Facebook mengaitkan Ahli Parlimen Bera itu dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan terbabit.

Tambah Saifuddin, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan laporan analisis profil oleh SKMM yang tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun tersebut serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun Facebook yang disiasat.

#BeritaKS

@BeritaKS