
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab terhadap salah laku dalam pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu dibawa ke muka pengadilan berdasarkan bukti kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan siasatan perlu dijalankan secara adil tanpa bertujuan menganiaya, menzalimi atau memalukan mana-mana individu.
“Tentunya mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati bukti-bukti yang kukuh.
“Tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman atau bertujuan untuk memalukan mana-mana individu,” katanya.
Ahmad Zahid berkata FELDA berdepan isu pengurusan berpanjangan termasuk kerugian atau kehilangan hampir RM10 bilion yang memerlukan siasatan terperinci termasuk audit forensik sekiranya wujud dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau pelanggaran tatakelola.
Beliau berkata siasatan berhubung FELDA perlu mengambil kira kepentingan kira-kira 225,000 peneroka serta generasi pertama hingga kelima yang membabitkan sekitar 1.8 juta individu secara langsung dan tidak langsung.
“Yang penting bukan hanya ‘management auditing’, tetapi ‘forensic auditing’ mesti dilakukan,” katanya, sambil menyerahkan proses siasatan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan FELDA telah memulakan tugas dan laporan lengkap akan diteliti sebelum sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat.
Kredit foto: MalaysiaGazette