
KUALA LUMPUR, 29 Jan – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan YouTuber, Nurpais Ismail membayar ganti rugi sivil RM550,000 kepada ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador berhubung kes saman fitnah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, mendapati defendan telah mengeluarkan kenyataan memfitnah Farhash dalam audio siar yang diterbitkan di laman Youtube Nurpais pada Mei tahun lalu.
Mahkamah dalam keputusan memaklumkan bahawa tuntutan fitnah yang difailkan Farhash terhadap kedua-dua individu itu tidak dicabar kerana Chegubard dan Nurpais gagal memfailkan kehadiran.
Sekali gus membolehkan mahkamah meneruskan pendengaran kes tanpa pembelaan mereka pada 12 Januari lalu.
“Bagi ganti rugi am, keseriusan dakwaan, tahap penyebaran, kedudukan plaintif dalam masyarakat, serta keperluan untuk membersihkan nama, saya menetapkan ganti rugi am sebanyak RM300,000.
“Oleh itu, saya memberikan ganti rugi teladan berjumlah RM100,000 terhadap kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan,” kata Arziah.
Beliau turut menganugerahkan ganti rugi teruk RM150,000 kepada Farhash.
#BeritaKS