FAM Tamat Kontrak CEO & Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Sukan
June 18, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penamatan kontrak beberapa pegawai dan jurulatih pasukan kebangsaan menerusi persetujuan bersama, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend serta Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.

Penamatan kontrak Rob Friend berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, manakala kontrak Cklamovski bersama dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith dan Seiya Imazaki, berakhir pada 16 Jun atas persetujuan bersama.

FAM turut memaklumkan bahawa kontrak Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23) Kebangsaan, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin juga ditamatkan atas persetujuan bersama berkuat kuasa 15 Jun.

“FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan.

FAM turut memaklumkan bahawa langkah-langkah sewajarnya sedang diambil bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan demi memastikan kelancaran hala tuju serta kesinambungan program pasukan kebangsaan.

Kredit foto: NST

#BeritaKS

@BeritaKS