DKU Mohon Mencelah Semakan Kehakiman Singkir Tuanku Muhriz

Semasa
August 10, 2026

Fara Alisa

SEREMBAN, 10 Ogos – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bersama setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 17 Julai lalu itu dikemukakan tiga orang bekas Undang iaitu, Dato’ Mubarak Thahak, Dato’ Maarof Mat Rashid, Dato’ Abd Rahim Yasin dan Undang Luak Johol, Dato’ Muhammed Abdullah.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam prosiding hari ini menyarankan pemohon menentukan sama ada kes berkenaan mahu diteruskan di Kuala Lumpur atau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban berikutan terdapat permohonan berkaitan di mahkamah berkenaan.

“Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober ini untuk pemohon memaklumkan mahkamah status perkara itu,” katanya.

Dalam permohonan mencelah, DKU dan Raja Norazli antara lain mendakwa pemohon asal (Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed) tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Pemohon asal sebelum ini mendakwa berlaku pelanggaran adat dan memohon perintah supaya Menteri Besar menandatangani dokumen pemasyhuran bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz serta mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

#BeritaKS

@BeritaKS