
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak dakwaan bahawa persaraan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim akan menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu.
Menurut beliau, kekuatan DAP tidak bergantung kepada mana-mana individu kerana wakil rakyat dipilih atas tiket parti dan bukannya berdasarkan personaliti semata-mata.
“DAP sebuah parti yang telah wujud selama 60 tahun. Kami telah mengharungi pelbagai cabaran dan tiada seorang individu pun yang lebih besar daripada parti.
“Parti ini sentiasa berjaya mengatasi cabaran. DAP akan terus kekal,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas pandangan bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu, yang berpendapat persaraan Marina mungkin memberi kesan kepada usaha parti mendekati pengundi Melayu.
Terdahulu, Marina telah mengumumkan persaraannya dari dunia politik selepas satu penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat dan menegaskan keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan peribadi.
Kredit: Malaysiakini