
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar DAP susulan dakwaan bahawa parti itu menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
Menurut beliau, tindakan tersebut bercanggah dengan pendirian DAP yang sebelum ini sering mengkritik amalan lantikan politik dalam GLC atas alasan tidak beretika, tidak profesional dan tidak selari dengan agenda reformasi.
“DAP sering mengecam pihak lain kerana membuat lantikan politik di GLC. Pada DAP itu tidak beretika, tidak profesional dan tidak reformis.
“Tetapi DAP lagi teruk. Tawaran dibuat sebelum menang pilihanraya. Lainlah sikit jika dilantik selepas pilihan raya untuk mengiktiraf kedudukannya sebagai YB kerana tidak dilantik Exco atau Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kenyataan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berhubung cadangan jawatan GLC kepada Marina menunjukkan DAP mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran kerajaan.
“Janji Teo Nie Ching itu membuktikan DAP ada pengaruh besar terhadap PMX. Itu belum cakap pasal Selangor dan Pulau Pinang. Justeru kita cabar DAP, dedahkan YB dan pemimpin DAP yang bukan YB tetapi pegang jawatan GLC pusat dan negeri,” tegasnya.
Terdahulu, Marina mengambil keputusan berundur daripada politik selepas didakwa diminta berpindah ke kerusi DUN Tiram dan ditawarkan jawatan pengerusi GLC sekiranya tewas di pilihan raya.