
MELAKA, 14 Jul – DAP Melaka hari ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh susulan kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong selepas semua ADUN Pakatan Harapan (PH) mengundi menolak pindaan berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Khoo berkata DAP Melaka tidak lagi dapat meneruskan kerjasama dalam pentadbiran negeri kerana berpendirian pindaan tersebut bercanggah dengan prinsip demokrasi dan mandat rakyat.
Menurutnya, sebagai menghormati prinsip demokrasi berparlimen, wakil DAP akan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri, namun kekal menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN.
“Kami tidak menafikan keperluan mendapatkan khidmat golongan profesional dan pakar. Tetapi mereka tidak seharusnya dilantik sebagai ADUN yang mempunyai kuasa untuk bersidang dan mengundi dalam DUN,” katanya.
Empat ADUN yang akan berbuat demikian adalah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Timbalan Speaker DUN Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Timbalan Exco, Chee Leong (Kota Laksamana) dan Timbalan Exco, Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Tambah Khoo, semua ahli DAP yang dilantik menganggotai badan kerajaan negeri, termasuk sebagai ahli majlis tempatan, juga akan meletakkan jawatan secara berperingkat.