
SEREMBAN, 6 Ogos – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu didakwa bersama isterinya di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan klinik tidak berdaftar, bulan lalu.
Dr Azizul Hakim Mahdi, 35 dan Noor Ameera Rahmat, 35 masing-masing selaku pengarah syarikat, turut dituduh adalah syarikat milik mereka, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didapati menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Berikutan itu, tertuduh telah melanggar peruntukan Seksyen 4(1), Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(2)(aa) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia, Haslina Zamani, sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Fateh Mohd Rahmat.