BN Ada Persefahaman Dengan ‘Rakan Yang Boleh Dipercayai’ – Tok Mat

Politik
July 16, 2026

Fara Alisa

SEREMBAN, 16 Jul – Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai kerjasama pilihan raya dengan parti lain.

Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata gabungan itu akan memasuki gelanggang PRN dengan persefahaman bersama sebuah rakan yang disifatkannya sebagai ‘boleh dipercayai’, namun identiti parti berkenaan tidak didedahkan.

“Seperti disebutkan pengerusi bahawa ada pengumuman lain kerana kita masuk gelanggang PRN Negeri Sembilan dengan ada persefahaman dengan rakan boleh dipercayai,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, semalam.

Pada majlis sama, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengumumkan BN turut meletakkan calon di kerusi DUN Labu yang kini disandang Ketua BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, namun tidak meletakkan calon di tiga kerusi DUN yang disandang PAS iaitu Serting, Paroi dan Bagan Pinang.

Perkembangan itu hadir ketika BERSATU sebelum ini mengumumkan akan bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam sebarang rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN).

#BeritaKS

@BeritaKS