
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Bekas pembantu khas kepada Teresa Kok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh itu dan menerima suapan RM500,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, Edmund didakwa memperdayakan Teresa Kok untuk mempercayai hanya dua sekolah di Parlimen Seputeh memohon sumbangan ‘Interactive Smart Board’, sedangkan terdapat 16 sekolah lain turut memohon bantuan sama.
“Faham, tidak bersalah,” katanya sebaik pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM500,000 daripada seorang lelaki sebagai upah membantu mendapatkan sumbangan pembekalan ‘Interactive Smart Board’ dan peralatan berkaitan kepada 16 sekolah di Parlimen Seputeh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Ogos 2024 di Kuchai Lama mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Kredit foto: Astro Awani