BAM Masih Perlukan Rexy

Sukan
December 16, 2025

Lily Hasreen

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Perkhidmatan Rexy Mainaky selaku Pengarah Kejurulatihan Beregu masih diperlukan, meskipun beliau sebelum ini menyuarakan kesediaan untuk berundur.

Semalam, Rexy menyatakan beliau bersedia meletakkan jawatan susulan kegagalan pasukan negara mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA Thailand.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan prestasi di temasya dwitahunan itu bukan tanggungjawab seorang jurulatih semata-mata.

Tetapi, tambah Zafrul, ia melibatkan keseluruhan ekosistem pasukan termasuk pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan.

“Khidmat Rexy masih diperlukan. Pengalaman serta falsafah pembangunan yang dibawanya tidak boleh diukur dengan hanya satu kejohanan,” katanya menerusi kenyataan di laman X.

Pada Sukan SEA kali ini, kem badminton negara meraih satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa tanpa memenuhi sasaran empat emas yang ditetapkan BAM.

#BeritaKS

@BeritaKS