
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengakui prinsip tegas yang dipegang sepanjang empat dekad perkhidmatannya menyebabkan beliau mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan.
“Saya akui tidak mempunyai kawan-kawan sejak saya berkhidmat dalam BPR (Badan Pencegah Rasuah), seterusnya SPRM malah bergelar Ketua Pesuruhjaya SPRM juga membuatkan saya mempunyai lebih ramai musuh,” katanya.
Azam berkata, ketegasan itu turut dapat dilihat dalam siasatan kes berprofil tinggi, termasuk membabitkan bekas perdana menteri, apabila beliau menegaskan sesiapa yang bersalah perlu didakwa tanpa mengira kedudukan.
“Ramai yang tidak berpuas hati dengan pendekatan siasatan yang dijalankan kerana prinsip saya jelas, siapa yang bersalah perlu didakwa tanpa mengira kedudukan,” tambahnya.
Azam yang memulakan kerjaya bersama Badan Pencegah Rasuah pada 1984 akan menamatkan perkhidmatannya esok, manakala bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa Rabu ini.
Kredit foto: Utusanborneo