Anwar Terlalu Obses Turunkan Defisit Negara – Saifuddin

Semasa
October 14, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim didakwa terlalu obses mengecilkan defisit negara sehingga menjejaskan peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) yang kini kekal di bawah paras RM90 bilion selama empat tahun berturut-turut.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa tumpuan kerajaan seharusnya diberikan kepada pengurusan kewangan yang berkesan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, bukan semata-mata mengejar penurunan defisit.

“Kerajaan perlu mempunyai perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan mengurus pada angka yang munasabah. Namun, YB Tambun (Anwar) kelihatan terlalu obses untuk mengecilkan defisit, sedangkan itu bukan matlamat utama belanjawan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyifatkan peruntukan pembangunan yang rendah itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai keupayaan belanjawan dalam memacu ekonomi negara ke tahap yang optimum.

Saifuddin turut membangkitkan tindakan kerajaan yang didakwa mula mengalihkan sebahagian tanggungjawabnya kepada syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) susulan kekangan dana sedia ada.

Tindakan memaksa entiti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk beroperasi di luar perniagaan teras masing-masing dibimbangi akan memberi tekanan serta menjejaskan keupayaan mereka menjana pulangan.

Dalam perbahasan tersebut, beliau juga menuntut penjelasan berhubung hala tuju sebenar sistem percukaian negara sama ada kerajaan berhasrat untuk terus menggunakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau kembali kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) demi memastikan kelestarian pendapatan negara.

Menyentuh inisiatif pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama yang diumumkan dalam belanjawan, Saifuddin menjelaskan bahawa isu sebenar yang perlu ditangani segera oleh kerajaan adalah harga pasaran rumah yang terlalu mahal sehingga rakyat tidak mampu untuk membelinya.

Kredit foto: Astro Awani, FMT

#BeritaKS

@BeritaKS