Anwar Kecam Serangan Di Sydney

Dunia, Jenayah
December 15, 2025

Lily Hasreen

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan ganas di Sydney serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih sepenuhnya.

“Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan terhadap orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama.

“Tindakan seperti ini sama sekali tidak berpaksikan mana-mana kepercayaan,” katanya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar turut menyatakan solidariti penuh Malaysia bersama rakyat dan kerajaan Australia.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam insiden tembakan di Bondi Beach, Sydney pada malam Sabtu.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian itu sebagai mengejutkan, manakala Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns, menggambarkannya sebagai satu tragedi yang amat menyayat hati.

#BeritaKS

@BeritaKS