
KUALA PILAH, 14 Jul – Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah, hari ini.
Sebelum ini, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat untuk tempoh hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada 2008.
Berdasarkan rekod PRN yang lepas, DUN itu disifatkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan tidak pernah beralih penguasaan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke diumumkan sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi DUN Chennah pada PRN kali ini.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan itu telah menyandang DUN tersebut selepas memenanginya pada PRN yang lepas dengan majoriti 2,200 undi menentang calon Perikatan Nasional (PN).
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, PH dan BN telah membentuk kerajaan negeri namun kedua-dua gabungan itu mengambil keputusan untuk bergerak secara berasingan pada kesemua 36 kerusi DUN pada PRN kali ini.
Kredit: Astro AWANI