Agong Dikurniakan Darjah Kebesaran Tertinggi Jordan

Semasa
October 12, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali, iaitu darjah kebesaran awam tertinggi Kerajaan Hasyimiah Jordan, hari ini.

Pengurniaan itu disempurnakan oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II, dalam istiadat di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata di Dewan Seri Negara.

Darjah ‘The Collar of Hussein Ibn Ali’ diwujudkan melalui titah Diraja Jordan pada 22 Jun 1949 dan dikurniakan kepada Raja-Raja, Ketua-Ketua Negara, serta Ketua-Ketua Kerajaan yang diperkenankan Raja Jordan sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan mereka.

Anugerah itu juga merupakan antara darjah kebesaran diraja Jordan yang diberikan kepada tokoh antarabangsa terkemuka serta individu yang diiktiraf atas pencapaian dan sumbangan masing-masing.

Raja Abdullah II kini dalam rangka lawatan negara selama dua hari ke Malaysia yang bermula pada Ahad, atas jemputan Sultan Ibrahim.

Lawatan itu menjadi sebahagian daripada hubungan rasmi kedua-dua negara, manakala pengurniaan darjah kebesaran berkenaan mencerminkan pengiktirafan diraja Jordan terhadap kedudukan Sultan Ibrahim.

Kredit: Bernama

#BeritaKS

@BeritaKS