
KUALA PILAH, 14 Okt – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Dato’ Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 dalam istiadat menghadap di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Istiadat itu turut disaksikan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, serta Putera Yang Empat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim manakala Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim dilaporkan tidak hadir.
Azrin, 51, yang merupakan pengurus kanan sebuah syarikat telekomunikasi, melafazkan sembah taat setia kepada Tuanku Muhriz selepas istiadat dimulakan dengan menghadap Orang Empat Istana bagi mendapatkan perkenan baginda.
Beliau turut berikrar untuk memelihara keluhuran Adat Perpatih serta melaksanakan amanah sebagai Undang Luak Jelebu dengan penuh tanggungjawab demi keharmonian luak berkenaan dan kesejahteraan Negeri Sembilan.
Terdahulu, Azrin bersama isterinya, Datin Norazizan Mamat, diarak ke istana dengan diiringi kira-kira 100 anggota rombongan sambil membawa barang adat istiadat.
Beliau menggantikan Datuk Maarof Mat Rashad, yang diumumkan terlucut daripada jawatan mengikut adat dan tradisi Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Azrin merupakan anak sulung daripada lima beradik daripada Suku Biduanda Waris Berundang dan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Kredit: Sinar Harian