
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 yang berlangsung di Istana Negara.
Persidangan yang menghimpunkan Raja-Raja Melayu serta pemimpin negeri itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Turut berangkat menyeri mesyuarat tersebut ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagi melengkapkan majlis berkenaan, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim turut hadir mewakili negeri masing-masing.
Persidangan itu juga dihadiri oleh barisan Yang Dipertua Negeri yang terdiri daripada Tun Dr Mohd Ali Rustam (Melaka), Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Sarawak), Tun Musa Aman (Sabah) dan Tun Ramli Ngah Talib (Pulau Pinang).
Mengiringi keberangkatan Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri ke mesyuarat terbabit ialah barisan Menteri Besar, Ketua Menteri serta Timbalan Premier Sarawak.
Sebagai rekod, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali terakhir telah diadakan pada 11 dan 12 Februari lalu di bawah pengerusi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kredit foto: Berita Harian