Nazir Hussin Hadir Semula Ke SPRM, Terima Notis Isytihar Harta

Semasa
October 14, 2026

Fara Alisa

PUTRAJAYA, 14 Okt – Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin dipanggil semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada hari ini, dipercayai berhubung urusan penerimaan notis pengisytiharan harta.

Beliau yang tiba di pekarangan bangunan suruhanjaya tersebut bersama dua peguamnya pada jam 11 pagi tadi difahamkan hadir bagi proses penyerahan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Nazir Hussin memaklumkan bahawa pihak beliau telah memfailkan satu permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada semalam bagi menghalang pelaksanaan arahan di bawah akta berkenaan.

Sambil menyuarakan kemungkinan dirinya bakal ditahan, beliau menggesa agensi antirasuah itu agar menghormati proses undang-undang dan menunggu keputusan rasmi mahkamah berhubung permohonan injunksi yang telah dibuat.

Terdahulu pada 1 Oktober, media melaporkan penahanan dua ahli korporat beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes salah guna kedudukan melibatkan urusan pelaburan dana bernilai kira-kira RM10 juta.

Siasatan awal mendedahkan mereka disyaki bersubahat dengan seorang pegawai kanan sebuah yayasan berasaskan pendidikan bagi meluluskan pelaburan tersebut kepada syarikat milik abang suspek pertama pada penghujung tahun 2020.

Susulan daripada pembongkaran kes berkenaan, pihak SPRM dilaporkan telah menyita pelbagai aset termasuk 15 buah kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima utas jam tangan mewah, barang kemas serta wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.

Kredit foto: Harian Metro

#BeritaKS

@BeritaKS