
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Dewan Rakyat bersetuju melantik empat Ahli Parlimen untuk menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan pelantikan itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih pada 13 Oktober lalu.
Mereka yang dilantik ialah Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran).
“Jawatankuasa Pemilih mengikut peraturan Mesyuarat 76 dengan ini menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan baginya oleh Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi menamakan ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.
“Oleh itu, empat ahli Dewan Rakyat yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilih seperti di perenggan atas hendaklah diterima dan dipersetujui,” katanya ketika membentangkan perkara itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, cadangan keanggotaan majlis itu akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.
Majlis Perkhidmatan Parlimen merupakan antara dua entiti utama yang akan diwujudkan di bawah akta itu, selain Perkhidmatan Parlimen yang bertujuan menyelia dan mengurus hal ehwal perkhidmatan khusus Parlimen.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 serta pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.