
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Seorang daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan bersama lima kilogram (kg) kokain di Jepun mendakwa dirinya diberitahu bahawa petugas lapangan terbang telah menerima bayaran bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan tanpa halangan.
Menurut laporan Fuji News Network (FNN) pada Isnin lalu, dakwaan tersebut disuarakan oleh suspek lelaki berusia 24 tahun itu berhubung insiden cubaan membawa masuk dadah melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
“Saya diberitahu petugas lapangan terbang sudah dibayar, jadi kami tidak akan diperiksa. Sebab itu saya berasa lega,” katanya menurut laporan FNN.
Bagaimanapun, laporan berkenaan tidak memperincikan lapangan terbang yang dimaksudkan mahupun mengemukakan sebarang pengesahan berhubung sogokan tersebut dan FNN turut melaporkan bahawa kesemua suspek dipercayai menerima tawaran menyeludup dadah berkenaan akibat berhadapan dengan masalah kewangan.
Taktik sindiket tersebut terbongkar apabila pegawai Kastam Jepun mula curiga terhadap seorang daripada suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal, sebelum pemeriksaan menyeluruh membawa kepada penemuan dadah.
Menerusi modus operandi itu, setiap suspek ditugaskan membawa kira-kira satu kilogram kokain dengan agihan 500 gram disembunyikan di bawah pelapik setiap kasut yang dipakai mereka.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato’ Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan membabitkan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia pada 10 Oktober lalu.
Susulan penahanan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk mengenal pasti kemungkinan wujudnya kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di peringkat tempatan dan antarabangsa.