Isu NAM: Marhamah Selar Pihak Terus Buat Tuduhan Tidak Berasas

Semasa
October 14, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menyelar tindakan pihak tertentu yang berterusan melemparkan tuduhan tidak berasas yang mengaitkan beliau dengan penyebaran unsur New Age Movement (NAM).

Menjawab soalan tambahan Dato’ Ahmad Saad@Yahaya (PN-Pokok Sena) di Dewan Rakyat pada Rabu, beliau menegaskan bahawa sebarang dakwaan perlu disemak terlebih dahulu bagi mencari kebenaran serta memberikan keadilan kepada pihak yang dituduh.

“Saya berada di Parlimen Tan Sri sampai malam semalam (Selasa)! Tapi tiada usaha daripada pihak Pokok Sena untuk berjumpa saya sendiri dan bertanya tentang isu ini.

“Dan saya rasa tidak adil untuk hukum saya hanya berdasarkan cerita sebelah pihak,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaporkan telah mengadakan sesi tabayyun bersama Marhamah susulan penularan dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut berhubung kontroversi berkenaan, Marhamah menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen supaya mengutamakan pendekatan pengesahan fakta sebelum membuat sebarang andaian terbuka.

“Jadi saya ingin mengajak, ayuh kita bertabayun. Semoga perjuangan kita bukan hanya sekadar lantang bersuara tapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” tegas beliau mengakhiri penjelasan tersebut.

Kredit foto: Sinar Harian

#BeritaKS

@BeritaKS