Pindaan Warganegara Anak: “Tunggu Agong Perkenan Tarikh”

Semasa
October 14, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Kerajaan bersedia melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak hasil perkahwinan dengan warga asing, namun masih menunggu tarikh kuat kuasa yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan pindaan itu boleh dimulakan serta-merta selepas mendapat perkenan berkenaan.

“Sekarang, tunggu Yang di-Pertuan Agong pacak satu tarikh untuk akta ini diguna pakai. Sekarang saya tunggu perkara itu sahaja.

“Kalau esok Yang di-Pertuan Agong beri perkenan tarikh, 14 Oktober mula berkuat kuasa, maka 14 Oktober juga kita kuat kuasa,” katanya ketika menghadiri sesi Townhall MADANI di Kedah.

Kenyataan itu menyusul gesaan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) yang membangkitkan kelewatan pelaksanaan pindaan berkenaan.

Pada 12 September lalu, Saifuddin dilaporkan berkata Yang di-Pertuan Agong sudah menetapkan tarikh kuat kuasa pindaan itu, yang akan diumumkan selepas urusan pentadbiran dimuktamadkan.

Pindaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 17 Oktober 2024 dan diwartakan pada Mac 2025 itu bertujuan memberikan hak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak secara automatik, sama seperti hak yang sebelum ini terhadap lelaki Malaysia.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak berkuat kuasa secara retrospektif, bermakna hanya anak yang dilahirkan selepas tarikh kuat kuasanya ditetapkan layak mendapat kewarganegaraan secara automatik di bawah peruntukan baharu tersebut.

Saifuddin turut berkata kerajaan terus berusaha menyelesaikan permohonan kewarganegaraan tertunggak, dengan jumlah kes berkurangan daripada kira-kira 50,000 ketika beliau mula memegang jawatan kepada 3,000 kes.

#BeritaKS

@BeritaKS