Saya Jijik Dengan Hipokrasi Global Isu Rakyat Palestin – PM

Semasa
October 14, 2026

Fara Alisa

BANGI, 14 Okt – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa jijik terhadap kegagalan sistem antarabangsa dalam membela nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi ekoran pendudukan rejim Zionis sejak 70 tahun lalu.

Beliau turut mempersoalkan sikap hipokrit sesetengah pihak yang berselindung di sebalik sistem berkenaan walhal mereka sering secara terbuka memperjuangkan amalan demokrasi dan hak asasi manusia.

“Apakah ertinya aturan antarabangsa tanpa demokrasi? Demokrasi milik siapa? Bagaimana pula dengan hak asasi manusia kita? Hak asasi manusia siapa yang dimaksudkan, sedangkan rakyat di Palestin diperlaku seperti haiwan dan hamba abdi,” soal beliau.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia menolak keras sebarang amalan kolonialisme atau imperialisme daripada diangkat sebagai kelaziman dengan mengambil kira sejarah negara yang pernah dijajah suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, latar belakang agama dan bangsa sama sekali tidak wajar dijadikan alasan untuk membenarkan kezaliman atau membiarkan penindasan berterusan terhadap insan yang tidak berdosa.

“Mengapa apabila membabitkan isu Palestin pendekatan pertimbangan dan keputusan berbeza pula diambil?” tegasnya yang turut membangkitkan persoalan tersebut kepada pelbagai rakan sejawat di Eropah dan Amerika Syarikat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Kongres Sumud Antarabangsa di sini, malam tadi.

Kredit foto: Harian Metro

#BeritaKS

@BeritaKS