
PUTRAJAYA, 12 Okt – Pengumuman pemuliharaan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membuktikan ketiadaan sebarang rancangan untuk menswastakan syarikat tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa peruntukan Belanjawan 2027 itu sekaligus menepis desas-desus berhubung penjualan entiti milik kerajaan berkenaan kepada pihak luar.
Inisiatif pemuliharaan kedua-dua bangunan ikonik serta bersejarah itu bakal dilaksanakan menerusi usaha sama strategik antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Khazanah Nasional Berhad.
“Ini satu inisiatif yang penting iaitu bangunan ikonik Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat KTMB, dua bangunan bersejarah ini akan dipulihara,” kata beliau pada sidang media pasca pembentangan Belanjawan 2027 hari ini.
Beliau menyelar tindakan sesetengah pihak yang secara berterusan menyebarkan tuduhan tidak berasas kononnya kementerian berniat menjual aset tersebut kepada syarikat asing.
“Dengan pengumuman ini, saya berharap dapat menoktahkan segala tuduhan dan fitnah yang menyatakan Kementerian Pengangkutan hendak jual bangunan KTMB,” tegasnya bagi menjernihkan keadaan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aset kebanggaan negara itu akan terus kekal di bawah pemilikan penuh kerajaan kerana nilai sejarah dan nostalgianya yang amat tinggi.
Kredit foto: FMT