Wakaf MAINPP Teruskan Agenda Merakyatkan Wakaf

Semasa
October 12, 2026

Fara Alisa

BATU KAWAN, 12 Okt — Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Wakaf MAINPP) meneruskan agenda merakyatkan wakaf menerusi penganjuran Fiesta AFFIN Islamic International Wakaf Fund Run 2026 yang merekodkan kehadiran terkumpul 5,200 pengunjung sepanjang dua hari di Masjid Ar-Rayyan, di sini, semalam.

Program dengan kerjasama AFFIN Islamic Bank itu berjaya mengumpul RM333,741.17 menerusi kutipan wakaf tunai, sekali gus mencerminkan sambutan masyarakat terhadap pendekatan memperluas budaya berwakaf secara lebih inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Tuan Abdul Mohsein Mohd Shariff berkata, wakaf bukan sekadar sumbangan kewangan, sebaliknya pelaburan sosial yang manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara berpanjangan.

“Kita mahu mengubah persepsi bahawa wakaf hanya berkaitan penyerahan tanah atau aset bernilai besar. Hakikatnya, setiap individu mampu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Fiesta berkenaan turut mencatatkan penyertaan 2,278 individu yang mendaftar bagi Wakaf Fund Run, dengan 2,016 peserta hadir menyertai acara larian, selain 1,145 penyertaan menerusi sembilan pertandingan dan aktiviti serta 671 jemaah bagi program Subuh Seramai Jumaat.

Kempen itu juga menyaksikan pertambahan 84 pewakaf autodebit baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 585 pewakaf aktif dengan kutipan bulanan RM13,259, selain mencapai 791,819 pengguna menerusi media sosial.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem wakaf, Wakaf MAINPP memeterai dua memorandum persefahaman dengan ToyyibPay Sdn Bhd dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain melancarkan Portal One Wakaf MAINPP bagi memudahkan pelaksanaan wakaf tunai secara digital.

Wakaf MAINPP menegaskan usaha itu akan diteruskan melalui pengukuhan kerjasama strategik dan penglibatan masyarakat supaya wakaf dapat menjadi instrumen pembangunan sosioekonomi yang mampan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.

#BeritaKS

@BeritaKS