
BANDAR BARU BANGI, 3 Sep – Lembaga Tabung Haji (TH) kini melangkah ke fasa reformasi yang lebih mampan apabila tidak lagi merekodkan sebarang penglibatan ahli politik aktif di dalam komposisi ahli lembaga pengarahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad menjelaskan bahawa keputusan strategik tersebut diambil bagi memperkukuh landskap tadbir urus dan memastikan pengurusan institusi berkenaan digerakkan secara lebih profesional.
“Sekarang ini tidak ada lagi pelantikan atau penglibatan ahli politik aktif dalam lembaga. Ia antara langkah pembaharuan dilaksanakan TH selepas 2018 susulan pelbagai penemuan berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH sebelum ini,” jelasnya.
Bagi mengelakkan kepincangan pengurusan pentadbiran lalu berulang, langkah pembaharuan pasca 2018 itu turut disokong dengan pengenalan garis panduan kelayakan dan kesesuaian bagi memastikan tahap integriti tertinggi dipatuhi.
Menyentuh mengenai aspek kepatuhan, beliau mendedahkan bahawa proses memuktamadkan draf pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) kini telah melepasi tahap 90 peratus sebagai memenuhi ketetapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Dari 25 syor RCI, 19 telah diambil tindakan manakala enam lagi masih dalam proses pelaksanaan,” tambah beliau.
Enam syor yang masih di peringkat pelaksanaan tersebut turut merangkumi elemen peluasan skop pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap TH sebelum ia dibawa untuk kelulusan Kabinet dan Parlimen kelak.
Penstrukturan semula tadbir urus yang turut disokong dengan penubuhan semula Panel Pelaburan sejak 2021 itu diyakini mampu terus memelihara keselamatan deposit dan menjamin agihan pulangan yang mampan kepada penyimpan.
Kredit: Malaysia Gazette