DUN Melaka Dijangka Bubar Selepas PAU – BN

Politik
September 3, 2026

Fara Alisa

SHAH ALAM, 3 Sep – Barisan Nasional (BN) menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.

Pengerusi BN, Dato‘ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, strategi UMNO dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin berbeza berbanding pilihan raya negeri sebelum ini, mengambil kira landskap politik di negeri itu.

“Selepas PAU (jangkaan bubar DUN). Tidak ada formula yang sama digunakan untuk tempat yang berbeza. Jadi kita harus menyesuaikan formula itu.

“Melaka landskap politiknya berbeza, maka mungkin ada perbezaan dari segi formula dan jalinan kerjasama dengan parti-parti gabungan untuk menjadi rakan kongsi politik kita,” katanya.

Beliau berkata, UMNO dan BN sebelum ini mengambil keputusan untuk bertanding secara solo pada PRN Melaka, yang menyaksikan gabungan itu berjaya memenangi 21 kerusi DUN.

“Dengan kesukaran mendapatkan 21 kerusi DUN itu, adalah mustahil untuk Melaka, (UMNO dan BN) berkompromi dengan menyerahkan sebahagian daripada yang sudah berada di rumah kita untuk diberi kepada orang lain. Jadi, itulah prinsipnya,” katanya.

Bagaimanapun, Zahid berkata parti lain yang mahu bekerjasama masih mempunyai baki tujuh kerusi DUN untuk ditandingi.

“Kerusi itu boleh direbut oleh mana-mana pun parti gabungan kerana siapa pun yang menang, mereka akan bersama-sama dengan kita dan kita sentiasa membuka pintu untuk menjalin kerjasama,” katanya.

Kredit Foto: BERNAMA

#BeritaKS

@BeritaKS