
KUALA LUMPUR, 3 Sep – Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menegur Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil supaya menyemak semula fakta berhubung pertikaian peruntukan kewangan KKDW.
Teguran itu susulan Fadzmel mempersoalkan kenyataan Perbendaharaan mengenai dakwaan kementerian berkenaan membelanjakan lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan.
Tunku Nashrul berkata, kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican mengenai isu itu diyakini dibuat berdasarkan fakta dan bukan secara sembarangan.
“Elok saudara Fadzmel semak semula fakta. Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) tidak dibuat secara semborono.
“Saya kenal Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Johan memaklumkan kelewatan pembayaran kepada kontraktor projek pembangunan luar bandar berpunca daripada KKDW yang hampir menghabiskan peruntukan projek jalan luar bandar bagi tahun ini.
Pertikaian itu tercetus selepas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan luar bandar tertangguh sehingga menjejaskan aliran tunai sesetengah syarikat.
Johan berkata KKDW secara konsisten membelanjakan lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak 2023.
Bagaimanapun, Fadzmel mempersoalkan perkara itu dengan alasan permohonan dana dibuat kepada Perbendaharaan dan perbelanjaan diproses melalui sistem pengurusan kewangan Putrajaya.