
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengesahkan perkhidmatan Dr Solehah Yaacob sebagai kakitangan akademik di institusi itu telah ditamatkan pada 27 April lalu.
Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM berkata, susulan penamatan berkenaan, Solehah tidak lagi memegang jawatan profesor atau mewakili universiti dalam sebarang kapasiti rasmi.
Penggunaan sebarang gelaran, jawatan atau kaitan rasmi dengan UIAM dalam bahan promosi, laporan media, penerbitan, pengiklanan, media sosial serta bahan publisiti turut tidak dibenarkan.
UIAM berkata penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan berhubung status Solehah, yang sebelum ini menjadi perhatian susulan beberapa pandangan kontroversi berkaitan sejarah dan tamadun Melayu.
Antaranya, beliau mendakwa masyarakat Rom purba mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada masyarakat Alam Melayu.
Selain itu, beliau turut mengemukakan teori bahawa kekayaan bijih besi di Kedah purba mungkin berpunca daripada hujan meteor.