
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – UMNO mengesahkan akan menghantar wakil ke Muktamar Tahunan PAS Ke-72 yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, pada 4 dan 5 September ini.
Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun, identiti wakil yang akan dihantar masih belum ditentukan.
“Kita sememangnya akan hantar wakil ke muktamar berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan parti itu telah menghantar jemputan kepada Ahmad Zahid dan tiga lagi pimpinan UMNO untuk menghadiri muktamar berkenaan.
Muktamar Tahunan PAS Ke-72 akan dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 4 September ini.